Monday, September 14, 2009

Membantu Siasatan atau Tertuduh

Salam semua. Ada sekurang-kurangnya tiga kenyataan yang berbeza tentang Dato' Seri Dr. Mohd. Khir Toyo, bekas Sang Menteri Besar Selangor yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) untuk membantu siasatan kes banglo mewah milik beliau di Seksyen 7, Shah Alam, semalam.

Ada yang kata beliau dipanggil ke SPRM selama 4 jam, ada yang kata 6 jam dan ada yang kata 8 jam. Akan tetapi jika menurut tuan punya badan yang ditemuramah melalui telefon oleh wartawan Berita Harian, beliau hanya dipanggil selama 3 jam sahaja!

"Tiga jam untuk siasatan satu kes besar seperti itu adalah tidak masuk akal", kata seorang kawan, yang juga bekas ketua cawangan UMNO. "Tiga jam boleh buat apa?, nak sediakan fail, tunggu pegawai, berbual kosong tentang puasa dan hal politik semasa, tanya tentang keluarga dan macam-macam lagipun dah habis tiga jam", tambah kawan tu.

Kalau ikutkan ada juga logiknya kata-kata kawan tu, apa tidaknya, kesnya besar, tentang sebuah banglo mewah yang didakwa berharga puluhan juta ringgit yang dimiliki oleh seorang bekas menteri besar yang bertugas tidak sampai dua penggal, yang sekarang hanya ADUN Sungai Panjang.

Sebelum menjadi menteri besar beliau hanya seorang doktor gigi, sebelum itu menjadi budak pemborong sisa kertas surat khabar di Utusan Melayu, sebelum itu hanya anak seorang petani di kawasan Sungai Burung, Tanjung Karang, yang hidup kais pagi makan tengahari dan kais petang makan malam, tiba-tiba lepas jadi menteri besar tidak sampai dua penggal dengan gaji mungkin 20 hingga 30 ribu sebulan, boleh buat banglo mewah yang nilainya puluhan juta ringgit, mana dia dapat duit? Sebab itu kena siasat betul-betul! Bukan seperti melepas batuk ditangga!

Tambahan pula beliau hanya dipanggil untuk membantu siasatan bukan tertuduh. Ini lagi pening, ada orang yang dipanggil untuk membantu siasatan juga, tentang penggunaan wang peruntukan DUN disoal siasat dari pagi sampai malam, sampai subuh, sambung besok, sampai ke subuh juga, itu hanya melibatkan duit RM50,000. Khir Toyo hanya dipanggil 3 jam dari pukul 8.30 pagi hingga 11.30 pagi untuk kes yang ribuan kali lebih besar nilainya. Memang pening!

Untuk mengelak dari diserbu wartawan , Khir Toyo dikatakan tidak datang dengan kereta mewahnya sendiri, malahan hanya datang dengan menaiki sebuah Proton Wira, tidak pula dinyatakan Wira Aeroback atau Sedan. Wow! macam artislah pulak. Orang lain kalau kes macam tu pasti dah kena reman, bawa ke mahkamah dengan tangan bergari, tutup muka dengan kertas atau kain, tapi yang ini lain, boleh main sorok-sorok lagi dengan wartawan.

Satu kes lagi yang melibatkan seorang menteri yang dikatakan menerima RM10 juta dari PKFZ, pun lebih kurang sama. Beliau juga dipanggil membantu siasatan, bukan tertuduh walaupun yang mengaku memberi duit itu adalah seorang ahli parlimen dari BN. Beliau datang ke pejabat SPRM menaiki kereta rasmi kerajaan dan waktu pulang boleh melambai tangan kepada wartawan yang menunggu di situ. Tanpa sedikitpun menunjukan rasa malu, atau bersalah! Sampai bilakah orang seperti mereka ini, akan kebal dari undang-undang?

Sebagai rakyat kita hanya mahu melihat keadilan dilaksanakan, tidak kira ia melibatkan siapa. Apakah terlalu susah untuk kita membezakan kebenaran dan kebatilan. Kita boleh berpura-pura bodoh atau menafikan semua perbuatan kita, atau berlagak suci dan bersih, berlagak macam orang alim, tapi sampai bila?!

Sunday, September 13, 2009

Luncai Terjun dengan Labu-labunya: Biarkan...biarkan

Sejak beberapa hari ini Samy Vellu, jarang-jarang kelihatan tersenyum. Pada pagi Sabtu mukanya masam mencuka. Mungkin kepalanya berserabut, apakah yang akan terjadi kalau calon pilihannya kalah dalam pemilihan MIC kali ini?

"Puning...puning", mungkin itulah yang dikatakannya. "Subramaniam, lagi satu hal, dia lawan Timbalan Presiden, dia tak mau lawan Presiden, dia lawan presiden kalu, senanglah mau pecat, ini orangpun ada pandai jugak", dengusnya lagi.

Sabtu malam, Samy Vellu muncul berbeza, senyumnya sampai ke telinga, habis semua tangan orang diangkatnya. Dia senyum kerana semua calon pilihannya menang! Di tv malam itu Samy Vellu menyatakan kegembiraannya dengan keputusan itu. "Kita minta mereka memberi 23 daripada 27 tetapi mereka menambah lagi tiga, pun semuanya kita boleh kerjasama untuk MIC dan masyarakat India". Katanya. Entah apa yang dia cakap, kita tak faham, dia tidak peduli. Ada orang kata, pemilihan MIC kali ini didominasi oleh politik wang (rasuahlah tu) dan samseng.

Itulah Samy Vellu, seorang yang sukar dimengerti. Ada orang kata Samy Vellu seorang yang tidak tahu malu. Walaupun dah kalah dalam pilihanraya umum yang lalu, dan masyarakat India telah menolak MIC, dia tetap begitu. Bercakap dengan penuh gaya dan keyakinan. Seperti raja atau mahaguru yang tidak boleh disentuh dalam MIC dan oleh masyarakat India amnya.

Dia dikatakan pernah menempelak wartawan yang menemuramahnya bahawa kekalahan teruk MIC dalam pilihanraya umum yang lalu bukan kerana masyarakat India membencinya tetapi kerana masyarakat India membenci BN. Itulah Samy Vellu.

Seperti biasa bila menang, Samy janji macam-macam. "Kita akan pastikan bahawa MIC akan bekerja untuk mengubah nasib masyarakat India di dalam tanah air ini", katanya. Sudah lebih 30 tahun Samy Vellu mengungkapkan frasa tersebut, namun masyarakat India tetap seperti yang ada sekarang! Ayo..yo..ena dei... ini orang boleh pakai ka?!...

Tuesday, September 1, 2009

Mereka Sebenarnya Tidak Pernah Pedulikan Kita

Salam semua. Sejak PRU 12 yang telah berlalu lebih setahun, kita masih begini. Setiap hari kita dihidangkan dengan adegan2 politik yang tidak pernah putus, dari satu kisah ke satu kisah yang lain. Semuanya tentang ahli politik dan parti politik. Sejak PRU12 yang menyaksikan BN hampir kalah, kehilangan lima negeri ke tangan pembangkang, semua pemimpin BN, seperti hilang punca. Diikuti pula dengan kekalahan di dalam semua pilihanraya kecil, mereka jadi lebih kalut.

Bermula dengan UMNO yang bertukar presiden, setahun selepas PRU12, yang menyaksikan Pak Lah "berundur" dan di gantikan oleh Dato' Seri Najib. Tempoh setahun yang diambil untuk proses peralihan tersebut, pemimpin UMNO terutamanya sibuk dengan kempen dan lobi-melobi. Ada pemimpin yang pada mulanya boleh bertanding kemudian dilarang kerana politik wang. Ada menteri yang rumahnya diserbu SPRM. Ada yang didakwa di mahkamah dan macam2 lagi. Waktu itu memang sibuk, setiap hari media massa menyiarkan berita siapa yang kalah, siapa yang menang, siapa yang ditangkap dan siapa yang dituduh, siapa yang menerima banyak pencalonan, siapa yang layak bertanding dan siapa yang tidak layak. Setiap hari, keadaan begitu.

Bagi kita, ada yang mengikuti dengan penuh minat, ada yang separuh minat dan ada yang tidak berminat. Sehingga kadang2 kita terfikir, bilakah mereka bekerja untuk rakyat seperti yang sering mereka laungkan! Sedangkan setiap hari kita melihat mereka bekerja untuk survival politik mereka. Akhirnya Dato' Seri Najib jadi Presiden, Tan Sri Muhyiddin jadi Timbalan Presiden, seterusnya Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Selepas selesai UMNO, kecoh pula PPP. Kayveas berebut jawatan presiden dengan Murugiah. Masing2 mendakwa mereka adalah presiden yang sah. Masing2 mendakwa ada pengikut dan masing2 berkata "rakyat dan ahli PPP telah matang, dan boleh menerima krisis dalaman parti". Sibuk disemua media, masing2 sibuk untuk survival politik mereka. Kita sebagai rakyat bagaimana?

Pada waktu yang sama kecoh di Perak, BN rampas kuasa dari PK. Wakil rakyat lompat parti, Istana diheret sama, sampai bertumbuk, bersidang bawah pokok, usung speaker keluar dewan, kurung dalam stor. Tahan kereta sultan di tengah jalan dan macam2. Semua disiarkan dalam media, boleh tengok "live". Yang tidak berpuas hati bawa kes ke mahkamah. Sekejap mahkamah kata dia menteri besar yang sah, sekejap dia pulak. Keadaan kecoh dan kalut. Dalam keadaan itu, rakyat di mana agaknya, dihati mereka? Bila Sudah jadi Menteri Besar, senyap dan kita tidak tahu mereka buat apa untuk rakyat. Yang pasti mereka hanya nak berkuasa. Rakyat? Piiirah!

Waktu yang sama juga, pilihanraya kecil terus berjalan, kempen untuk calon berjalan ada yang tiga minggu, ada yang seminggu dan ada yang sebulan. Semua pemimpin berkampung di situ. Semua kata rakyat dah matang, rakyat itu dan rakyat ini. Yang menang berkokok, yang kalah tunduk.

Selesai PPP, sekarang giliran MCA pula. Presiden dan Majlis Presiden pecat Timbalan Presiden. Sebab yang sebenar kita tidak tahu, sebab yang disebut kerana masalah kelakuan! Presiden kata dia akan melawat ke seluruh negara untuk menerangkan masalah ini. Timbalan Presiden yang dipecat kata"hanya masa yang akan menentukan". Ini bererti ia tidak akan selesai dengan sebegitu mudah. Semuanya akan mengambil masa, tenaga dan wang ringgit. Waktu akan dihabiskan untuk memulihkan parti. Semua akan dibuat termasuk EGM dan sebagainya. Bila akan selesai? setahun, dua atau mungkin selamanya. Bagi mereka, biasalah "rakyat dan ahli telah matang untuk menerima krisis seperti ini".

Semua ini politiking untuk survival politik mereka. Kita sebagai rakyat dan pengundi hanya dibiarkan untuk menyaksikan sandiwara ini, sambil mendengar mereka berkata "kita buat semua ini untuk kebaikan parti dan rakyat", "rakyat mesti diutamakan dari hal-hal peribadi pemimpin". Akan tetapi mereka terus bertelagah untuk survival mereka. Macamlah kita ni bodoh dan pariah sangat. Bosan sungguh!

MIC pula macam dah tak laku, dah terpinggir. Pemilihan parti itu yang akan berlangsung tidak lama lagi seolah-olah sepi. Siapa yang nak bertanding, orang tak kisah. Calon pakat2 angkat tangan untuk bergambar di akhbar, orang buat tak tau je. Yang dah terlalu lama dan dah berkarat hijau dalam partipun masih sibuk nak kekalkan jawatan. Siapa yang nak bertanding menentangnya, dia pecat."Semuanya untuk kaum India di Tanah air ini", katanya. Betul ke? Sebenarnya mereka tidak pernah pedulikan kita!

Thursday, August 27, 2009

Gula Tak Ada oooii!

Salam semua. Hujan lebat di Lembah Kelang petang tadi membuatkan semuanya kelam kabut. Bazar Ramadanpun tak boleh nak pergi, sebab hujan, kesian mereka yang berniaga di Bazar Ramadan, sebab tak ramai orang datang membeli juada berbuka.

Lebih kelam kabut lagi dalam hujan terpaksa keluar cari gula. Dari satu kedai ke satu kedai semuanya kata gula tak ada. Hampir sepuluh kedai dan mini market dilawati, semuanya tak ada gula. Pening betul! Waktu berbuka sudah makin hampir, gula belum juga dapat. Rasa macam nak menjeritpun ada. Mana badan letih berpuasa, hujan, jalan sesak semuanya terpaksa diharungi. Gula oh gula!

Pagi tadi semasa baca akhbar ada berita kata gula di Kedah cukup untuk hari raya. Tapi di Lembah Kelang gula tak ada. Selalu juga tengok di TV, penguatkuasa serbu tempat sorok gula, jumpa dua tiga ratus tan gula. Orang yang sorok gulapun dah kena denda, itu kata surat khabar, tapi gula tetap tak ada, susah nak cari.

Bagi pengguna gula kecil-kecilan seperti kitapun pening apa lagi mereka yang menggunakan gula secara besar-besaran. Kesian mereka yang berniaga kedai makan, peniaga Bazar Ramadan dan kakak2 dan makcik2 yang berniaga kuih raya pada bulan puasa ni. Di manakah mereka nak cari gula

Masalahnya kita semua tahu kenapa bekalan gula sangat kurang. Ada pihak yang tidak bertanggungjawab sorokan gula supaya harga naik. Sampai bila masalah ini akan berlarutan. Nak kata pihak berwajib tak buat kerja, tak adil, sebab tiap2 hari di akhbar mereka kata gula cukup. Cuma kita tak tahu mereka buat apa? Buktinya dah sebulan lebih masalah gula timbul, sampai sekarang tak selesai. Tiap2 hari bercakap di media, masalahnya begitu juga.

Sampai bila juga agaknya kita sebagai rakyat dan pengguna terpaksa menanggung akibat daripada perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab ini? Setiap kali nak naikkan harga sesuatu barang, inilah yang berlaku, kita sebagai pengguna kena tanggung! Tidak bolehkan mereka berunding baik2 dengan pihak berwajib? Jangan banyak bercakap di media. Yang pening pengguna macam kita terpaksa meredah hujan dan jalan sesak kerana nak cari gula. Bagi mereka yang menilai prestasi kementerian, tolong tengok, adakah ini sesuai dengan 1Malaysia, pencapaian diutamakan, rakyat didahulukan!

Wednesday, August 26, 2009

Minggu Pertama Ramadan: Kita dan Mereka

Salam semua. Ramadan dah seminggu berlalu, bulan mulia yang penuh keberkatan ini dah seminggu kita tempuhi! Semuanya seperti biasa, berjalan lancar! Bulan Ramadan tahun ini macam tahun lalu juga, cuma tahun lalu, bulan Ramadan tidak ada pilihanraya, tahun ni ada. PAS dan Pakatan Rakyat menang, UMNO dan BN kalah, majoriti? besar! UBN tengah cari punca kalah, tengah "post mortem".

Kata kawan2 tak Payah susah2 cari punca, semua dah jelas, calon jadi punca! Calon yang dikatakan berkelulusan UIA dan menurut bekas "partner"nya sering tadarus dan buat benda2 yang baik waktu di kampus dulu rupanya banyak masalah, banyak sisi gelapnya yang semua orang tak tau termasuk orang UBN. Entahlah...kalau tengok orangnya memang nampak baik, alim, pijak semutpun tak mati. Mungkin betul kata kawan2 semua orang ada buat silap! Akibat kesilapan itu, UBN kalah. Tapi ada kawan2 kata calon tu satu hal, hal yang lain ialah pengundi belum boleh terima UBN walaupun sekarang dah 1Malaysia.

Bulan Ramadan tahun ni macam tahun lalu juga, masjid dan surau berebut-rebut nak buat program. Yang pasti imam masih baca ayat panjang, rukuk lama dan sujud lama masa sembahyang Tarawikh. Tak tau kenapa. Waktu balik kampung hari minggu yang lalu, orang kampungpun merunggut benda yang sama. Imam muda ni kata mereka lupa di belakang mereka ada makmum yang tua dan sakit. Paling kurangpun kata kawan2, ingatlah ada orang yang baru berbuka puasa ada yang minum cincau, cendol dan macam2 lagi kalau sujud lama rasa nak keluar balik semua yang dimakan.

Bulan Ramadan tahun ni macam biasa, cuma tahun lalu tak ada orang nak kena rotan kerana minum arak, tahun ini ada! Perempuan pulak tu! Mula2 nak rotan dalam bulan Ramadan, kemudian tak jadi. Wanita yang nak kena rotan itu sudah sedia dan kalau menurut akhbar sudah tak sabar2 lagi nak menjalani hukuman rotan, sebab dia kata dia dah insaf! Publisiti untuk bekas model beranak dua tu nak kena rotanpun dah banyak, hari2 ada. Gambar dia tengah kemas baju nak pergi penjarapun, ada! Tiba2 tak jadi nak rotan pulak, tunggu lepas hari raya. Menangislah bekas peminum arak tu, sebab JAIP macam main2, lalu bertanyalah dia "kenapa buat saya macam ni?" Maka publisiti untuk wanita itu dan keluarganya semakin banyak. Hari2 ada dalam akhbar, bukan dia saja, ayahnya yang tak kena hukuman rotan tu pun hari2 ada dalam akhbar!

Di mana silapnya? perkara yang kelihatan begitu mudah, jadi berbelit-belit. Saya teringat waktu belajar di universiti dulu. Dalam kelas tutorial kami selalu berbincang tentang isu semasa, antaranya tentang hukum sebat, rejam dan sebagainya. Waktu itu kalau tidak silap Tunku Abdul Rahman ada buat kenyataan tentang hukum rejam, teruk dia kena balun. Pensyarah kami waktu itu bersetuju bahawa kita belum bersedia untuk melaksanakan hukuman seperti rotan dan rejam. Beliau juga dibelasah teruk oleh pelajar dengan macam2 tuduhan, tidak Islamik dan sebagainya. Tapi hari ini saya rasa pensyarah itu betul, kita seringkali ghairah nak menghukum tapi kita tidak bersedia untuk melaksanakan hukuman tersebut. Buktinya dalam bulan Ramadan kali ini. Malu juga!

Dalam bulan Ramadan tahun ini ada orang kena pecat keahlian parti. Sebabnya dia pernah melakukan kesalahan yang boleh ditonton dalam DVD,VCD dan internet. Kesalahan seks yang memalukan parti. Maka dia dipecat. Semua kesalahan itu memang betul dan orang itupun dah mengaku dan pernah meletak jawatan sebagai menteri akibat skandal itu. Kalau tidak salah dua atau tiga tahun yang lalu. Tapi yang hairannya hukuman baru dibuat sekarang. Kesalahan bertahun-tahun dulu, kena pecat sekarang. Pelik tapi....entahlah.

Ada kawan2 kata semua itu ada kaitan dengan skandal PKFZ dan saman menyaman serta laporan polis dan SPRM yang dibuat oleh kedua-dua pihak yang terlibat dalam skandal itu. Juga cadangan beberapa bahagian di Perak supaya Sang Presiden parti itu digantung jawatan sehingga skandal itu selesai. Ada juga kawan2 yang kata dalam isu ini SPRM memang lembab dan lambat bertindak malah sampai hari ini belum bertindak lagi. Jangan kaitankan lembab atau lambat itu dengan bulan Ramadan tahun ini sudahlah!

Baru seminggu bulan Ramadan tahun ini. Ada tiga minggu lagi insyaallah. Selamat berpuasa!