Tuesday, September 1, 2009

Mereka Sebenarnya Tidak Pernah Pedulikan Kita

Salam semua. Sejak PRU 12 yang telah berlalu lebih setahun, kita masih begini. Setiap hari kita dihidangkan dengan adegan2 politik yang tidak pernah putus, dari satu kisah ke satu kisah yang lain. Semuanya tentang ahli politik dan parti politik. Sejak PRU12 yang menyaksikan BN hampir kalah, kehilangan lima negeri ke tangan pembangkang, semua pemimpin BN, seperti hilang punca. Diikuti pula dengan kekalahan di dalam semua pilihanraya kecil, mereka jadi lebih kalut.

Bermula dengan UMNO yang bertukar presiden, setahun selepas PRU12, yang menyaksikan Pak Lah "berundur" dan di gantikan oleh Dato' Seri Najib. Tempoh setahun yang diambil untuk proses peralihan tersebut, pemimpin UMNO terutamanya sibuk dengan kempen dan lobi-melobi. Ada pemimpin yang pada mulanya boleh bertanding kemudian dilarang kerana politik wang. Ada menteri yang rumahnya diserbu SPRM. Ada yang didakwa di mahkamah dan macam2 lagi. Waktu itu memang sibuk, setiap hari media massa menyiarkan berita siapa yang kalah, siapa yang menang, siapa yang ditangkap dan siapa yang dituduh, siapa yang menerima banyak pencalonan, siapa yang layak bertanding dan siapa yang tidak layak. Setiap hari, keadaan begitu.

Bagi kita, ada yang mengikuti dengan penuh minat, ada yang separuh minat dan ada yang tidak berminat. Sehingga kadang2 kita terfikir, bilakah mereka bekerja untuk rakyat seperti yang sering mereka laungkan! Sedangkan setiap hari kita melihat mereka bekerja untuk survival politik mereka. Akhirnya Dato' Seri Najib jadi Presiden, Tan Sri Muhyiddin jadi Timbalan Presiden, seterusnya Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Selepas selesai UMNO, kecoh pula PPP. Kayveas berebut jawatan presiden dengan Murugiah. Masing2 mendakwa mereka adalah presiden yang sah. Masing2 mendakwa ada pengikut dan masing2 berkata "rakyat dan ahli PPP telah matang, dan boleh menerima krisis dalaman parti". Sibuk disemua media, masing2 sibuk untuk survival politik mereka. Kita sebagai rakyat bagaimana?

Pada waktu yang sama kecoh di Perak, BN rampas kuasa dari PK. Wakil rakyat lompat parti, Istana diheret sama, sampai bertumbuk, bersidang bawah pokok, usung speaker keluar dewan, kurung dalam stor. Tahan kereta sultan di tengah jalan dan macam2. Semua disiarkan dalam media, boleh tengok "live". Yang tidak berpuas hati bawa kes ke mahkamah. Sekejap mahkamah kata dia menteri besar yang sah, sekejap dia pulak. Keadaan kecoh dan kalut. Dalam keadaan itu, rakyat di mana agaknya, dihati mereka? Bila Sudah jadi Menteri Besar, senyap dan kita tidak tahu mereka buat apa untuk rakyat. Yang pasti mereka hanya nak berkuasa. Rakyat? Piiirah!

Waktu yang sama juga, pilihanraya kecil terus berjalan, kempen untuk calon berjalan ada yang tiga minggu, ada yang seminggu dan ada yang sebulan. Semua pemimpin berkampung di situ. Semua kata rakyat dah matang, rakyat itu dan rakyat ini. Yang menang berkokok, yang kalah tunduk.

Selesai PPP, sekarang giliran MCA pula. Presiden dan Majlis Presiden pecat Timbalan Presiden. Sebab yang sebenar kita tidak tahu, sebab yang disebut kerana masalah kelakuan! Presiden kata dia akan melawat ke seluruh negara untuk menerangkan masalah ini. Timbalan Presiden yang dipecat kata"hanya masa yang akan menentukan". Ini bererti ia tidak akan selesai dengan sebegitu mudah. Semuanya akan mengambil masa, tenaga dan wang ringgit. Waktu akan dihabiskan untuk memulihkan parti. Semua akan dibuat termasuk EGM dan sebagainya. Bila akan selesai? setahun, dua atau mungkin selamanya. Bagi mereka, biasalah "rakyat dan ahli telah matang untuk menerima krisis seperti ini".

Semua ini politiking untuk survival politik mereka. Kita sebagai rakyat dan pengundi hanya dibiarkan untuk menyaksikan sandiwara ini, sambil mendengar mereka berkata "kita buat semua ini untuk kebaikan parti dan rakyat", "rakyat mesti diutamakan dari hal-hal peribadi pemimpin". Akan tetapi mereka terus bertelagah untuk survival mereka. Macamlah kita ni bodoh dan pariah sangat. Bosan sungguh!

MIC pula macam dah tak laku, dah terpinggir. Pemilihan parti itu yang akan berlangsung tidak lama lagi seolah-olah sepi. Siapa yang nak bertanding, orang tak kisah. Calon pakat2 angkat tangan untuk bergambar di akhbar, orang buat tak tau je. Yang dah terlalu lama dan dah berkarat hijau dalam partipun masih sibuk nak kekalkan jawatan. Siapa yang nak bertanding menentangnya, dia pecat."Semuanya untuk kaum India di Tanah air ini", katanya. Betul ke? Sebenarnya mereka tidak pernah pedulikan kita!

No comments:

Post a Comment