Monday, September 14, 2009

Membantu Siasatan atau Tertuduh

Salam semua. Ada sekurang-kurangnya tiga kenyataan yang berbeza tentang Dato' Seri Dr. Mohd. Khir Toyo, bekas Sang Menteri Besar Selangor yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) untuk membantu siasatan kes banglo mewah milik beliau di Seksyen 7, Shah Alam, semalam.

Ada yang kata beliau dipanggil ke SPRM selama 4 jam, ada yang kata 6 jam dan ada yang kata 8 jam. Akan tetapi jika menurut tuan punya badan yang ditemuramah melalui telefon oleh wartawan Berita Harian, beliau hanya dipanggil selama 3 jam sahaja!

"Tiga jam untuk siasatan satu kes besar seperti itu adalah tidak masuk akal", kata seorang kawan, yang juga bekas ketua cawangan UMNO. "Tiga jam boleh buat apa?, nak sediakan fail, tunggu pegawai, berbual kosong tentang puasa dan hal politik semasa, tanya tentang keluarga dan macam-macam lagipun dah habis tiga jam", tambah kawan tu.

Kalau ikutkan ada juga logiknya kata-kata kawan tu, apa tidaknya, kesnya besar, tentang sebuah banglo mewah yang didakwa berharga puluhan juta ringgit yang dimiliki oleh seorang bekas menteri besar yang bertugas tidak sampai dua penggal, yang sekarang hanya ADUN Sungai Panjang.

Sebelum menjadi menteri besar beliau hanya seorang doktor gigi, sebelum itu menjadi budak pemborong sisa kertas surat khabar di Utusan Melayu, sebelum itu hanya anak seorang petani di kawasan Sungai Burung, Tanjung Karang, yang hidup kais pagi makan tengahari dan kais petang makan malam, tiba-tiba lepas jadi menteri besar tidak sampai dua penggal dengan gaji mungkin 20 hingga 30 ribu sebulan, boleh buat banglo mewah yang nilainya puluhan juta ringgit, mana dia dapat duit? Sebab itu kena siasat betul-betul! Bukan seperti melepas batuk ditangga!

Tambahan pula beliau hanya dipanggil untuk membantu siasatan bukan tertuduh. Ini lagi pening, ada orang yang dipanggil untuk membantu siasatan juga, tentang penggunaan wang peruntukan DUN disoal siasat dari pagi sampai malam, sampai subuh, sambung besok, sampai ke subuh juga, itu hanya melibatkan duit RM50,000. Khir Toyo hanya dipanggil 3 jam dari pukul 8.30 pagi hingga 11.30 pagi untuk kes yang ribuan kali lebih besar nilainya. Memang pening!

Untuk mengelak dari diserbu wartawan , Khir Toyo dikatakan tidak datang dengan kereta mewahnya sendiri, malahan hanya datang dengan menaiki sebuah Proton Wira, tidak pula dinyatakan Wira Aeroback atau Sedan. Wow! macam artislah pulak. Orang lain kalau kes macam tu pasti dah kena reman, bawa ke mahkamah dengan tangan bergari, tutup muka dengan kertas atau kain, tapi yang ini lain, boleh main sorok-sorok lagi dengan wartawan.

Satu kes lagi yang melibatkan seorang menteri yang dikatakan menerima RM10 juta dari PKFZ, pun lebih kurang sama. Beliau juga dipanggil membantu siasatan, bukan tertuduh walaupun yang mengaku memberi duit itu adalah seorang ahli parlimen dari BN. Beliau datang ke pejabat SPRM menaiki kereta rasmi kerajaan dan waktu pulang boleh melambai tangan kepada wartawan yang menunggu di situ. Tanpa sedikitpun menunjukan rasa malu, atau bersalah! Sampai bilakah orang seperti mereka ini, akan kebal dari undang-undang?

Sebagai rakyat kita hanya mahu melihat keadilan dilaksanakan, tidak kira ia melibatkan siapa. Apakah terlalu susah untuk kita membezakan kebenaran dan kebatilan. Kita boleh berpura-pura bodoh atau menafikan semua perbuatan kita, atau berlagak suci dan bersih, berlagak macam orang alim, tapi sampai bila?!

No comments:

Post a Comment