Monday, September 14, 2009

Membantu Siasatan atau Tertuduh

Salam semua. Ada sekurang-kurangnya tiga kenyataan yang berbeza tentang Dato' Seri Dr. Mohd. Khir Toyo, bekas Sang Menteri Besar Selangor yang dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) untuk membantu siasatan kes banglo mewah milik beliau di Seksyen 7, Shah Alam, semalam.

Ada yang kata beliau dipanggil ke SPRM selama 4 jam, ada yang kata 6 jam dan ada yang kata 8 jam. Akan tetapi jika menurut tuan punya badan yang ditemuramah melalui telefon oleh wartawan Berita Harian, beliau hanya dipanggil selama 3 jam sahaja!

"Tiga jam untuk siasatan satu kes besar seperti itu adalah tidak masuk akal", kata seorang kawan, yang juga bekas ketua cawangan UMNO. "Tiga jam boleh buat apa?, nak sediakan fail, tunggu pegawai, berbual kosong tentang puasa dan hal politik semasa, tanya tentang keluarga dan macam-macam lagipun dah habis tiga jam", tambah kawan tu.

Kalau ikutkan ada juga logiknya kata-kata kawan tu, apa tidaknya, kesnya besar, tentang sebuah banglo mewah yang didakwa berharga puluhan juta ringgit yang dimiliki oleh seorang bekas menteri besar yang bertugas tidak sampai dua penggal, yang sekarang hanya ADUN Sungai Panjang.

Sebelum menjadi menteri besar beliau hanya seorang doktor gigi, sebelum itu menjadi budak pemborong sisa kertas surat khabar di Utusan Melayu, sebelum itu hanya anak seorang petani di kawasan Sungai Burung, Tanjung Karang, yang hidup kais pagi makan tengahari dan kais petang makan malam, tiba-tiba lepas jadi menteri besar tidak sampai dua penggal dengan gaji mungkin 20 hingga 30 ribu sebulan, boleh buat banglo mewah yang nilainya puluhan juta ringgit, mana dia dapat duit? Sebab itu kena siasat betul-betul! Bukan seperti melepas batuk ditangga!

Tambahan pula beliau hanya dipanggil untuk membantu siasatan bukan tertuduh. Ini lagi pening, ada orang yang dipanggil untuk membantu siasatan juga, tentang penggunaan wang peruntukan DUN disoal siasat dari pagi sampai malam, sampai subuh, sambung besok, sampai ke subuh juga, itu hanya melibatkan duit RM50,000. Khir Toyo hanya dipanggil 3 jam dari pukul 8.30 pagi hingga 11.30 pagi untuk kes yang ribuan kali lebih besar nilainya. Memang pening!

Untuk mengelak dari diserbu wartawan , Khir Toyo dikatakan tidak datang dengan kereta mewahnya sendiri, malahan hanya datang dengan menaiki sebuah Proton Wira, tidak pula dinyatakan Wira Aeroback atau Sedan. Wow! macam artislah pulak. Orang lain kalau kes macam tu pasti dah kena reman, bawa ke mahkamah dengan tangan bergari, tutup muka dengan kertas atau kain, tapi yang ini lain, boleh main sorok-sorok lagi dengan wartawan.

Satu kes lagi yang melibatkan seorang menteri yang dikatakan menerima RM10 juta dari PKFZ, pun lebih kurang sama. Beliau juga dipanggil membantu siasatan, bukan tertuduh walaupun yang mengaku memberi duit itu adalah seorang ahli parlimen dari BN. Beliau datang ke pejabat SPRM menaiki kereta rasmi kerajaan dan waktu pulang boleh melambai tangan kepada wartawan yang menunggu di situ. Tanpa sedikitpun menunjukan rasa malu, atau bersalah! Sampai bilakah orang seperti mereka ini, akan kebal dari undang-undang?

Sebagai rakyat kita hanya mahu melihat keadilan dilaksanakan, tidak kira ia melibatkan siapa. Apakah terlalu susah untuk kita membezakan kebenaran dan kebatilan. Kita boleh berpura-pura bodoh atau menafikan semua perbuatan kita, atau berlagak suci dan bersih, berlagak macam orang alim, tapi sampai bila?!

Sunday, September 13, 2009

Luncai Terjun dengan Labu-labunya: Biarkan...biarkan

Sejak beberapa hari ini Samy Vellu, jarang-jarang kelihatan tersenyum. Pada pagi Sabtu mukanya masam mencuka. Mungkin kepalanya berserabut, apakah yang akan terjadi kalau calon pilihannya kalah dalam pemilihan MIC kali ini?

"Puning...puning", mungkin itulah yang dikatakannya. "Subramaniam, lagi satu hal, dia lawan Timbalan Presiden, dia tak mau lawan Presiden, dia lawan presiden kalu, senanglah mau pecat, ini orangpun ada pandai jugak", dengusnya lagi.

Sabtu malam, Samy Vellu muncul berbeza, senyumnya sampai ke telinga, habis semua tangan orang diangkatnya. Dia senyum kerana semua calon pilihannya menang! Di tv malam itu Samy Vellu menyatakan kegembiraannya dengan keputusan itu. "Kita minta mereka memberi 23 daripada 27 tetapi mereka menambah lagi tiga, pun semuanya kita boleh kerjasama untuk MIC dan masyarakat India". Katanya. Entah apa yang dia cakap, kita tak faham, dia tidak peduli. Ada orang kata, pemilihan MIC kali ini didominasi oleh politik wang (rasuahlah tu) dan samseng.

Itulah Samy Vellu, seorang yang sukar dimengerti. Ada orang kata Samy Vellu seorang yang tidak tahu malu. Walaupun dah kalah dalam pilihanraya umum yang lalu, dan masyarakat India telah menolak MIC, dia tetap begitu. Bercakap dengan penuh gaya dan keyakinan. Seperti raja atau mahaguru yang tidak boleh disentuh dalam MIC dan oleh masyarakat India amnya.

Dia dikatakan pernah menempelak wartawan yang menemuramahnya bahawa kekalahan teruk MIC dalam pilihanraya umum yang lalu bukan kerana masyarakat India membencinya tetapi kerana masyarakat India membenci BN. Itulah Samy Vellu.

Seperti biasa bila menang, Samy janji macam-macam. "Kita akan pastikan bahawa MIC akan bekerja untuk mengubah nasib masyarakat India di dalam tanah air ini", katanya. Sudah lebih 30 tahun Samy Vellu mengungkapkan frasa tersebut, namun masyarakat India tetap seperti yang ada sekarang! Ayo..yo..ena dei... ini orang boleh pakai ka?!...

Tuesday, September 1, 2009

Mereka Sebenarnya Tidak Pernah Pedulikan Kita

Salam semua. Sejak PRU 12 yang telah berlalu lebih setahun, kita masih begini. Setiap hari kita dihidangkan dengan adegan2 politik yang tidak pernah putus, dari satu kisah ke satu kisah yang lain. Semuanya tentang ahli politik dan parti politik. Sejak PRU12 yang menyaksikan BN hampir kalah, kehilangan lima negeri ke tangan pembangkang, semua pemimpin BN, seperti hilang punca. Diikuti pula dengan kekalahan di dalam semua pilihanraya kecil, mereka jadi lebih kalut.

Bermula dengan UMNO yang bertukar presiden, setahun selepas PRU12, yang menyaksikan Pak Lah "berundur" dan di gantikan oleh Dato' Seri Najib. Tempoh setahun yang diambil untuk proses peralihan tersebut, pemimpin UMNO terutamanya sibuk dengan kempen dan lobi-melobi. Ada pemimpin yang pada mulanya boleh bertanding kemudian dilarang kerana politik wang. Ada menteri yang rumahnya diserbu SPRM. Ada yang didakwa di mahkamah dan macam2 lagi. Waktu itu memang sibuk, setiap hari media massa menyiarkan berita siapa yang kalah, siapa yang menang, siapa yang ditangkap dan siapa yang dituduh, siapa yang menerima banyak pencalonan, siapa yang layak bertanding dan siapa yang tidak layak. Setiap hari, keadaan begitu.

Bagi kita, ada yang mengikuti dengan penuh minat, ada yang separuh minat dan ada yang tidak berminat. Sehingga kadang2 kita terfikir, bilakah mereka bekerja untuk rakyat seperti yang sering mereka laungkan! Sedangkan setiap hari kita melihat mereka bekerja untuk survival politik mereka. Akhirnya Dato' Seri Najib jadi Presiden, Tan Sri Muhyiddin jadi Timbalan Presiden, seterusnya Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Selepas selesai UMNO, kecoh pula PPP. Kayveas berebut jawatan presiden dengan Murugiah. Masing2 mendakwa mereka adalah presiden yang sah. Masing2 mendakwa ada pengikut dan masing2 berkata "rakyat dan ahli PPP telah matang, dan boleh menerima krisis dalaman parti". Sibuk disemua media, masing2 sibuk untuk survival politik mereka. Kita sebagai rakyat bagaimana?

Pada waktu yang sama kecoh di Perak, BN rampas kuasa dari PK. Wakil rakyat lompat parti, Istana diheret sama, sampai bertumbuk, bersidang bawah pokok, usung speaker keluar dewan, kurung dalam stor. Tahan kereta sultan di tengah jalan dan macam2. Semua disiarkan dalam media, boleh tengok "live". Yang tidak berpuas hati bawa kes ke mahkamah. Sekejap mahkamah kata dia menteri besar yang sah, sekejap dia pulak. Keadaan kecoh dan kalut. Dalam keadaan itu, rakyat di mana agaknya, dihati mereka? Bila Sudah jadi Menteri Besar, senyap dan kita tidak tahu mereka buat apa untuk rakyat. Yang pasti mereka hanya nak berkuasa. Rakyat? Piiirah!

Waktu yang sama juga, pilihanraya kecil terus berjalan, kempen untuk calon berjalan ada yang tiga minggu, ada yang seminggu dan ada yang sebulan. Semua pemimpin berkampung di situ. Semua kata rakyat dah matang, rakyat itu dan rakyat ini. Yang menang berkokok, yang kalah tunduk.

Selesai PPP, sekarang giliran MCA pula. Presiden dan Majlis Presiden pecat Timbalan Presiden. Sebab yang sebenar kita tidak tahu, sebab yang disebut kerana masalah kelakuan! Presiden kata dia akan melawat ke seluruh negara untuk menerangkan masalah ini. Timbalan Presiden yang dipecat kata"hanya masa yang akan menentukan". Ini bererti ia tidak akan selesai dengan sebegitu mudah. Semuanya akan mengambil masa, tenaga dan wang ringgit. Waktu akan dihabiskan untuk memulihkan parti. Semua akan dibuat termasuk EGM dan sebagainya. Bila akan selesai? setahun, dua atau mungkin selamanya. Bagi mereka, biasalah "rakyat dan ahli telah matang untuk menerima krisis seperti ini".

Semua ini politiking untuk survival politik mereka. Kita sebagai rakyat dan pengundi hanya dibiarkan untuk menyaksikan sandiwara ini, sambil mendengar mereka berkata "kita buat semua ini untuk kebaikan parti dan rakyat", "rakyat mesti diutamakan dari hal-hal peribadi pemimpin". Akan tetapi mereka terus bertelagah untuk survival mereka. Macamlah kita ni bodoh dan pariah sangat. Bosan sungguh!

MIC pula macam dah tak laku, dah terpinggir. Pemilihan parti itu yang akan berlangsung tidak lama lagi seolah-olah sepi. Siapa yang nak bertanding, orang tak kisah. Calon pakat2 angkat tangan untuk bergambar di akhbar, orang buat tak tau je. Yang dah terlalu lama dan dah berkarat hijau dalam partipun masih sibuk nak kekalkan jawatan. Siapa yang nak bertanding menentangnya, dia pecat."Semuanya untuk kaum India di Tanah air ini", katanya. Betul ke? Sebenarnya mereka tidak pernah pedulikan kita!